Garis masa Kemelut pembentukan kerajaan Malaysia 2022

Tidak lama selepas keputusan rasmi diumumkan, kedua-dua ketua blok terbesar, Anwar Ibrahim (PH) dan Muhyiddin Yassin (PN) mendakwa bahawa mereka sudah memiliki gabungan yang cukup melepasi majoriti, tetapi kedua-duanya tidak menghurai dengan lanjut ciri-ciri tentang gabungan yang didakwa mereka.[4][5]

Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah, memberikan semua pemimpin parti/gabungan masa hingga 2 petang, Isnin, 21 November untuk menyerahkan nama calon Perdana Menteri yang disokong mereka kepada Yang di-Pertua Dewan Rakyat.[6] Walau bagaimanapun, dengan pembinaan gabungan majoriti masih tidak berhasil, tarikh akhir dilanjutkan lagi 24 jam sehingga hari keesokannya.[7]

Mulai petang hari itu, Al-Sultan Abdullah mula memanggil para parti/gabungan, pada 22 dan 23 November untuk menilai sokongan para ahli politik dan melantik Perdana Menteri.[8][9] Pada 24 November, Majlis Raja-Raja bermesyuarat dalam menyelesaikan kemelut.[10] Kesudahannya, ketua PH, Anwar Ibrahim dilantik sebagai Perdana Menteri pada hari sama, dan angkat sumpah dijalankan pada hari sama.[11]

Perikatan Nasional

Pihak PN dalam pengumuman selepas pertemuan di Istana Negara menegaskan bahawa mereka tidak mahukan kerjasama dengan PH, dan mendakwa bahawa mereka kini memiliki sokongan 115 kerusi, tetapi disangkal pihak istana.[12] Menurut sumber media, deklarasi sokongan 115 kerusi itu termasuk keseluruhan GPS dan sebilangan ahli BN, dan dikatakan tidak sehaluan dengan pegangan sebenar GPS.[13]

Barisan Nasional

BN selaku parti pemenang ketiga terbesar, dengan 30 kerusi, dilihat sebagai pemain utama yang bakal menentukan pembentukan kerajaan. Sejak sebelum PRU lagi, pihak BN bertegas untuk tidak berpakat dengan PH, dengan pegangan "tidak kepada Anwar, tidak kepada DAP".[14] Walau bagaimanapun, dalam kemelut ini, UMNO turut menghadapi bantahan dalaman yang membesar terhadap presiden UMNO dan pengerusi BN Ahmad Zahid Hamidi berikutan prestasi PRU terburuk BN dalam sejarah. Pihak orang besar, akar umbi UMNO serta komponen BN lain, MCA dan MIC[15] mendesak agar Zahid meletak jawatan.[16] Isu ini bertambah buruk apabila Zahid secara sendiri didakwa ingin berpihak dengan PH agar dapat menjadi Perdana Menteri.[17]

Ismail Sabri Yaakob mengumumkan pada 22 November bahawa mereka tidak akan menyokong penggabungan dengan kedua-dua PH mahupun PN dalam pembentukan kerajaan persekutuan.[18]

Gabungan Parti Sarawak

Pada 20 November, ketua GPS Abang Johari Tun Openg mengeluarkan satu kenyataan, mendakwa bahawa GPS akan membentuk kerajaan dengan PN, BN dan GRS, sekaligus melepasi majoriti. Walau bagaimanapun, kenyataan itu menimbulkan kontroversi. Pihak akar umbi GPS menentang kerjasama dengan PN, terutamanya PAS, atas kebimbangan doktrin pro-Melayu-Islam PN ke atas perpaduan rakyat Sarawak.[19] Pada 23 November, wakil-wakil rakyat GPS dipanggil menghadap pihak istana dalam cubaan penyelesaian konflik.[20]

Gabungan Rakyat Sabah

Setelah GRS memenangi 6 Kerusi pada Pilihan raya umum, ketua GRS, Hajiji Noor telah mencapai perbincangan dengan ketua GPS, Abang Johari Abang Openg, untuk sepakat membentuk blok borneo dari kedua-dua negeri.[19] Hajiji juga menyatakan untuk menyokong Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri ke 10.[21] Ahli-ahli parlimen dari GRS juga dipercayai telah berjumpa dengan Muyiddin Yassin di kediaman beliau.[22] Namun begitu, ketua BN Sabah, Bung Moktar menyifatkan bahawa sokonga GRS ke atas PN adalah melanggar perjanjian kerjasama BN-GRS.[23] Namun demikian, Hajiji menolak dakwaan tuduhan Bung ke atas GRS.[24][25][26] Pada 24 November, GRS akhirnya akur dengan keputusan dan nasihat Yang Di-Pertuan Agong bagi mewujudkan kerajaan perpaduan.[27][28][29]

Rujukan

WikiPedia: Kemelut pembentukan kerajaan Malaysia 2022 https://www.astroawani.com/berita-politik/pasca-pr... https://www.astroawani.com/berita-politik/pasca-pr... https://www.astroawani.com/berita-politik/perbinca... https://www.astroawani.com/berita-politik/pru15-ak... https://www.astroawani.com/berita-politik/pru15-an... https://www.astroawani.com/berita-politik/pru15-pa... https://www.astroawani.com/berita-politik/pru15-ti... https://pru15.bernama.com/news-bm.php?id=2141776 https://www.channelnewsasia.com/asia/malaysia-elec... https://edition.cnn.com/2022/11/18/asia/malaysia-1...